SALAH GUNA KHIDMAT NASIHAT HALAL



Halal pada dasarnya bersumberkan syariah Islam. Dengan demikian sebarang bentuk konsultasi,  kursus dan khidmat nasihat halal tidak sewajarnya dikomersilkan dengan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak bertujuan mengaut keuntungan. Perkara ini  berlaku kepada  mana-mana pihak yang tidak terlatih dalam bidang syariah dan pensijilan halal. Permintaan terhadap khidmat perundingan dalam pengurusan halal yang tinggi di kalangan pengusaha industri halal menyebabkan wujudnya ruang bagi pihak ketiga untuk menawarkan perkhidmatan halal kepada pihak industri dengan mengenakan sejumlah bayaran yang tinggi. Pihak ketiga ini ada yang melabelkan mereka sebagai perunding halal dan penasihat syariah sedangkan mereka langsung tidak terlatih dalam bidang syariah dan pensijilan halal, atau sekurang-sekurangnya mempunyai kelulusan dalam pengajian Islam.  Malahan terdapat sesetengah syarikat yang sanggup menghabiskan modal puluhan ribu ringgit  untuk mendapat  khidmat nasihat halal yang boleh membantu dalam proses mendapatkan pensijilan halal tanpa mengira kelayakan dan latarbelakang pihak tersebut. Ironinya keadaan ini sering berlaku kepada syarikat-syarikat bukan bumiputera kerana keterbatasan pengetahuan mengenai soal halal dan haram.
                                                        

Hakikatnya apa yang telah disyaratkan dalam Manual Pensijilan Halal dan standard Halal Malaysia yang dikeluarkan oleh pihak JAKIM adalah mewajibkan pihak pengusaha dan industri halal untuk mewujudkan jawatankuasa halal dan melantik eksekutif halal yang berkelayakan sesuai dengan latarbelakang pendidikan. Ianya merupakan mekanisme dalaman bagi meningkatkan tahap kualiti dan jaminan halal melalui pengurusan halal di peringkat dalaman selaras dengan kehendak syariah  selain daripada audit dan penguatkuasaan yang dijalankan oleh pihak berkuasa seperti JAKIM dan JAIN. Perlantikan pegawai halal/eksekutif halal ini mestilah terdiri daripada mereka yang berkelayakan dan mempunyai latarbelakang pendidikan Islam atau syariah serta mempunyai rekod latihan berkaitan industri halal seperti kursus eksekutif halal. Dalam erti kata yang lain, urusan halal ini perlulah diserahkan kepada yang ahli atau individu yang telah diperakui kelayakannya  bertepatan dengat semangat tuntutan APD yang jelas meyatakan perkataan halal yang merujuk kepada hukum syarak dan undang-undang islam melalui 4 mazhab fiqah yang diiktiraf dalam melaksanakan akta tersebut. Adalah mustahil tuntutan akta ini boleh dipertanggungjawabkan dengan tepat kepada eksekutif halal yang di luar dari bidang tersebut terutamanya kilang yang dimiliki oleh bukan islam. Namun yang demikian, industri tidak peka mengenai keperluan tersebut dan meletakkan perlantikan eksekutif halal sebagai satu syarat yang sekadar perlu ada sahaja tanpa mengira kelayakan dan latar belakang pendidikan yang tepat. Susulan itu, PEHMA secara rambang telah menjalankan soal selidik kepada pihak pengusaha halal dan mendapati kegiatan penawaran khidmat halal telah berleluasa sekian lama. Apa yang dirisaukan ialah penawaran perkhidmatan halal ini dijalankan  oleh individu-individu yang tidak diketahui latarbelakangnya sehigga boleh dipertikaikan. Fenomena ini membimbangkan masyakarat kerana ianya boleh menjejaskan reputasi Negara dalam pembangunan industri halal Negara dan sekaligus menghancurkan integrti syariah dalam pasaran dan penggunaan barangan halal. Sekiranya langkah-langkah pengawalan terhadap kegiatan-kegiatan tersebut tidak dilaksanakan dikhuatiri akhirnya akan mendatangkan kerugian kepada semua pihak termasukl pihak industri  dan Negara.

Dalam persoalan ini, pihak syarikat pengeluar haruslah mencontohi  sektor perbankan Islam yang berjaya mewujudkan Majlis penasihat syariah atau pegawai syariahsebagai mekanisme penentuan halal terhadap produk-produk yang ditawarkan. Perlantikan penasihat syariah atau aksekutif halal mestilah terdiri daripada mereka yang berlatarbelakang pendidikan yang bersesuaian dengan bidang yang diceburi. Mereka yang dilantik terdiri daripada individu yang berkaliber untuk menjawab segala permasalahan-permasalahan yang diutarakan berdasarkan syarak, fatwa semasa dan terlatih dalam industri halal.

Sehubungan itu, satu initiatif telah diambil melalui penubuhan Persatuan Profesion Eksekutif Halal Malaysia (PEHMA). Ianya di asaskan oleh skumpulan eksekutif halal yang terlatih pada 2008. Mereka terdiri dari kalangan tenaga pakar yang berada institusi-institusi Islam, universiti dan juga syarikat-syarikat pengeluar barangan halal di Malaysia. Tujuannya ialah untuk menjadi sebuah badan yang menjaga kebajikan dan mengawal kegiatan profesion ini supaya berada di landasan yang betul dan berintegriti. Sebilangan besar eksekutif halal yang berdaftar dengan PEHMA sememangnya telah mempunyai kelayakan pengajian Islam dari universiti tempatan dan luar negara dan terlatih secara khusus berkaitan pensijilan halal. Sehingga kini  kebanyakan mereka merupakan pegawai halal atau panel syariah yang dilantik oleh pihak industri halal sepenuh masa. Malangnya hari ini yang pihak industri mengambil mudah dalam soal perlantikan eksekutif halal atau panel syariah tanpa mengira kelayakan yang sepatutnya berdasarkan semangat dan keperluan  Akta Halal APD 2011 yang menyebut  secara jelas tentang prinsip syariah, mazhab dan fatwa.  Pengurusan halal dalam industri adalah sebagai profesion yang dianggap mempunyai tahap profesionalisme yang tersendiri dan memikul tanggungjawab yang besar dalam menjaga kepatuhan syarak.  Eksekutif halal atau panasihat syariah ini perlu didaftarkan dibawah satu badan yang khusus sepertimana PEHMA dan disokong oleh satu perundangan berkaitannya. Fungsinya ialah menjadi sebuah badan tunggal yang mengawal segala kegiatan mereka termasuklah mengambil tindakan kepada mana-mana ahli yang melakukan kesalahan. Manakala mereka yang tidak layak adalah juga boleh diambil tindakan dan boleh dianggap suatu penipuan. Pihak PEHMA juga mengharapkan agar pihak kerajaan dapat memberikan perhatian yang serius akan perkara ini. Dengan wujudnya mekanisme ini, sebarang spekulasi atau manipulasi yang wujud seperti keldai halal dan sebagainya dapat diatasi.  Seterusnya mampu untuk memperkasakan profesion ini ke satu tahap yang lebih tinggi sebagai nilai tambah terhadap kualiti dan jaminan halal dalam industri hari ini.

Walaubagaimanapun, pihak kami menggesa kepada mana-mana eksekutif halal atau panel syariah yang telah dilantik oleh pihak pengusaha dan industri adalah sebaiknya untuk membuat pendaftran dengan PEHMA bagi tujuan penyelarasan dan pengawalan. Pihak kami boleh dihubungi dengan melayari laman web http://www.halalexecutive.org.my/ Pihak pengusaha dan industri juga diingiatkan untuk menyelidiki terlebih dahulu latarbelakang dan kelayakan seseorang sebelum membuat sebarang perlantikan eksekutif halal mahupun panel syariah. Begitu juga dalam mendapat khidmat perundingan halal.

Ahmad Faizal Abdul Razak
Setiausaha Agung
Persatuan Profesion Eksekutif Halal Malayisa (PEHMA)

0 comments:

Catat Ulasan

 

Minda Eksekutif Halal Copyright © 2011-2012 | Powered by Blogger