KONGRES EKSEKUTIF HALAL MALAYSIA 2012 (KEHMA 2012)


KONGRES EKSEKUTIF HALAL MALAYSIA 2012 (KEHMA 2012)
16 OKTOBER 2012
PUSAT PERDAGANGAN ANTARABANGSA MELAKA

Kongres Eksekutif Halal Malaysia buat kali pertama di adakan telah berjaya dilangsungkan dengan jayanya. KEHMA 2012 telah  dihadiri oleh tetamu kehormat iaitu YBhg. Tuan Hj. Nordin b. Ahmad mewakili Ketua Pengarah JAKIM, Y.B. Datuk Yaakob bin Md Amin, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Melaka, Y.Bhg. Datuk Mat Zin b. Mansor, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka, YBhg. Dr. Lokman b. Ab. Rahman, Presiden Persatuan Profesioan Eksekutif Halal Malaysia (PEHMA) dan YBhg. Tuan Hj. Zamrud b. Mansur, Pengarah Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka.



KEHMA 2012 telah disertai lebih daripada 200 orang peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan daripada JAIN dan Jabatan Mufti di seluruh Malaysia, Eksekutif Halal dan ahli akademik termasuk para pensyarah serta  para pelajar IPTA dan IPTS.

 
Tegas Ybhg Dr. Nordin b. Ibrahim dalam ucapannya, eksekutif halal perlu diperkasakan peranannya kerana mereka merupakan pendokong kea rah integriti perlaksanaan halal bagi sesebuah syarikat. Selain itu, peluang untuk berkhidmat sebagai eksekutif halal bukan sahaja tertumpu di dalam Negara, tetapi peluang ini terbuka di 60 buah badan pensijilan halal luar Negara yang sememangnya memerlukan khidmat eksekutif halal. Justeru, ini akan tergalas di bahu PEHMA untuk mempersiapkan ahlinya bagi memenuhi permintaan tersebut.

Pengarah JAIM, Datuk Mat Zin b. Mansor juga menegaskan dalam ucapan perasmiannya bahawa hubungan yang terjalin antara JAIM dan PEHMA telah banyak memudahkan proses pengurusan pensijilan halal di Melaka. Tenaga kerja yang kompeten untuk menjawat jawatan sebagai eksekutif halal adalah amat penting dan perlu diperluaskan tetapi dengan kawalan  oleh satu badan yang bertanggungjawab seperti PEHMA.


 
 
6 Kertas kerja yang telah dibentangkan sepanjang KEHMA 2012 yang merangkumi tajuk seperti berikut:
1-      1- Dasar Syariah dan Isu-Isu Fatwa Semasa berkaitan produk halal (JAKIM)
2-      2-  Taklif Syariah di kalangan Pengusaha dan Industri : Peranan dan Tanggungjawab Eksekutif Halal. (JAKIM)
3-     3-  Kes-kes pemantauan dan isu-isu halal (KPDNKK)
4-     4-  Analisis dan Persampelan produk halal (IPPH)
5-      5-  Pengurusan Jaminan Halal : Satu Keperluan Kritikal Dalam Industri) (PEHMA)
6-      6-  Peluang dan Potensi Bidang Pengajian Syariah (Halal) (UNIKIST)

Kesemua pembentangan telah Berjaya menarik perhatian peserta dengan penjelasan isu-isu semasa  dan penekanan  mengenai konsep syariah dan tanggungjawab eksekutif halal.
9 resolusi yang telah dicapai yang dibacakan oleh Sdr Ahmad Faizal Abdul Razak, Setiausaha Agung PEHMA adalah seperti berikut:

 
1.       Dasar industri halal Negara hendaklah diasas berdasarkan prinsip-prinsip syariah sepenuhnya tanpa melihat kepada keuntungan ekonomi semata-mata dan hendaklah menggunapakai keseluruhan fatwa-fatwa yang telah diputuskan.
2.       Sebarang pertikaian yang timbul berhubung isu-isu halal hendaklah merujuk kepada institusi-institusi fatwa yang berautoriti di Malaysia sebagai keputusan muktamad.
3.       JAKIM, JAIN dan MAIN hendaklah mewajibkan perlantikan eksekutif halal yang terlatih dan mempunyai latar belakang Pengajian Islam yang diiktiraf bagi mana-mana syarikat yang memegang pensijilan halal.
4.       Bagi industri kecil dan sederhana (IKS) hendaklah melantik penasihat atau panel syariah bagi menyelia perlaksanaan pematuhan halal.
5.       JAKIM melalui PEHMA hendaklah memberi perakuan kepada mana-mana graduan Pengajian Islam yang terlatih, pegawai JAKIM, JAIN dan MAIN yang berpengalaman dalam bidang pensijilan halal dan mana-mana individu yang berlatarbelakangkan Pengajian Islam di dalam industri sekurang-kurang 2 tahun setelah  melalui program yang diiktiraf.
6.       JAKIM hendaklah menubuhkan jawatankuasa pemandu bagi mengawal dan menyelia mana-mana institusi dan university yang melatih dalam bidang kemahiran pensijilan halal.
7.       Pihak industri hendaklah memastikan system jaminan halal dilaksana seperti yang digariskan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia.
8.      Syarikat-syarikat berstatus multinasional hendaklah menubuhkan jabatan syariah/halal yang mempunyai eksekutif halal, pengerusi syariah dan jawatankuasa halal dalaman sepertimana yang dilaksanakan oleh institusi-institusi kewangan Islam.
9.       Perlaksanaan pensijilan halal hendaklah mengutamakan prinsip-prinsip syariah selagimana tidak bercanggah dengan peraturan-peraturan asas oleh pihak berkuasa.



KEHMA 2012 turut diserikan lagi dengan majlis penyampaian sijil kepada peserta yang telah menamatkan kursus eksekutif halal selama 7 bulan. Majlis graduasi ini merupakan kali ke-3 semenjak ianya ditawarkan dari 2003 oleh Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDEC) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).


0 comments:

Catat Ulasan

 

Minda Eksekutif Halal Copyright © 2011-2012 | Powered by Blogger